Tuesday, January 18, 2011

Badminton Terbuka Malaysia tawar RM1.28 juta

KUALA LUMPUR - Penarikan diri beberapa pemain termasuk jaguh Indonesia, Sony Dwi Kuncoro membuka peluang kepada tiga pemain pelapis negara, Liew Daren, Chong Wei Feng dan Chan Kwong Beng untuk bertanding pada Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia yang bermula di Stadium Putra, Bukit Jalil hari ini.

Ini merupakan kesempatan terbaik buat anak-anak buah Rashid Sidek itu untuk mencipta impak dan menonjolkan diri pada kejohanan bernilai AS$$400,000 (RM1.28 juta) itu, namun mereka perlu terlebih dulu melepasi halangan pusingan kelayakan.

Bagaimanapun, harapan seorang lagi pemain pelapis, Tan Chun Seang untuk turut berentap dengan jaguh-jaguh dunia tidak kesampaian apabila terpaksa menarik diri akibat kecederaan.

Ketika kelayakan Sukan Olimpik London 2012 menjadi fokus semua pemain, peluang beraksi dalam kejohanan Siri Super harus dimanfaatkan sepenuhnya oleh pemain pelapis negara jika mahu mengiringi jaguh No. 1 dunia, Datuk Lee Chong Wei, yang hampir pasti mengisi slot perseorangan pertama.

Wei Feng, yang melakar kejutan besar dengan melangkah ke suku akhir ketika membuat penampilan pertama Terbuka Malaysia tahun lalu memulakan kempen dengan menentang pemain muda Indonesia, Tommy Sugiarto, anak kepada legenda badminton negara itu, Icuk Sugiarto.

Daren, yang beraksi menggantikan Chun Seang pula akan membuka saingan dengan menentang pemain Taiwan, Hsueh Hsuan Yi manakala Kwong Beng pula akan bertemu Chou Tien Chen, juga dari Taiwan.

Sandaran utama Malaysia pada kejohanan pembuka tirai kalendar Siri Super 2011 itu bagaimanapun terarah kepada percubaan Chong Wei untuk memburu kejuaraan ketujuhnya, dan potensi jaguh No. 1 dunia itu bakal bertemu musuh tradisi Lin Dan dari China pada separuh akhir.

Malah, 'drama' luar gelanggang juga bakal menarik perhatian sepanjang kejohanan.

Semua mata akan mencari kelibat Datuk Misbun Sidek yang mungkin hadir memberi sokongan kepada Chong Wei pada ketika krisis peletakan jawatannya sebagai jurulatih kebangsaan masih belum selesai.

Turut menjadi tumpuan, pertemuan yang bakal diatur Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Nadzmi Mohd. Salleh dan Misbun ketika kejohanan sedang berlangsung.

Ia dijangka menamatkan segala konflik yang melanda kedua-dua pihak. Nadzmi yang kini berada di luar negara dijangka kembali ke tanah air esok.

"Bagi saya, tumpuan hanya kepada kejohanan. Dengan cabaran kali ini jauh lebih mencabar ekoran kehadiran skuad terkuat China, saya tidak rasa sesuai untuk memikirkan perkara lain, selain daripada persiapan menghadapi pertandingan.

"Semua orang bercakap tentang pertemuan saya dengan Lin Dan dan saya tidak boleh mengelak daripada turut memikirkan tentangnya, tetapi itu bukan satu-satunya perlawanan yang bakal saya hadapi di sini, saya kena memberikan yang terbaik sejak pusingan awal dan dalam semua perlawanan," kata Chong Wei, yang akan memulakan kempen dengan menentang pemain dari pusingan kelayakan.

Selain Chong Wei, cabaran Malaysia dalam undian utama akan turut dipikul juara All England 2003, Muhammad Hafiz Hashim dan pemain veteran, Wong Choong Hann. Hafiz akan memulakan aksi dengan bertemu jaguh China, Chen Long, manakala Choong Hann menentang Marc Zwiebler dari Jerman.

No comments:

Post a Comment

Total Pageviews