Tuesday, January 18, 2011

LTDL 2011: Peluang Pelumba Malaysia cipta Kejayaan

LTdL 2011: Kejutan Menanti Pelumba Malaysia

KUALA LUMPUR: Kejutan bakal menanti skuad lebuh raya Malaysia yang bakal berkayuh di Le Tour de Langkawi 2011 (LTdL 2011) bermula 23 Januari hingga 1 Februari ini.

Khabarnya, jurulatih baru dari Australia, Graham Seers sudah memiliki strategi ampuh bagi memastikan pelumba negara yang dijemput bertanding pada kejohanan edisi ke-16 tidak terkulai layu pada pendakian perlumbaan peringkat ke-4 dan ke-5 di Cameron Highlands serta di Genting Highlands.

Namun, keputusan Seers hampir pasti menyaksikan beberapa nama yang awalnya dikatakan calon pasti untuk menganggotai pasukan kebangsaan menjadi korban perubahan percaturan strategi pendakian pada dua puncak gunung tersebut.

“Saya sudah serahkan nama tersebut kepada Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM). Rasanya keputusan tersebut akan diterima oleh persatuan,” katanya.

Jurulatih berusia 53 tahun itu cenderung memilih formula 4 + 2 yang dicanangkan sebelum ini dan lantaran itu, nama tiga pendaki, Amir Mustafa Rusli, Muhammad Rauf Nur Misbah dan Muhammad Nur Rizuan Zainal hampir pasti disenaraikan dalam pasukan kebangsaan Malaysia.

Calon seorang lagi pendaki dikatakan jadi rebutan antara Suhardi Hassan, pemenang jersi putih RTM Jelajah Malaysia 2007 (JM2007) dan Jelajah Malaysia 2008 (JM 2008) dengan Loh Sea Keong yang berkayuh bersama pasukan Marco Polo Cycling Team pada Le Tour de Langkawi 2010 (LTdL 2010).

Manakala Ahmad Fakrullah Alias, pelumba muda dari Pahang yang dua kali memanjat podium kemenangan di Tour d’Indonesia 2010 (TdI 2010) sudah boleh memasang impian untuk melakukan penampilan pertama dalam sejarah LTdL.

Slot terakhir pula bakal menjadi rebutan antara Zamri Salleh dan Ahmad Fallanie Ali, dua pelumba yang sering menjadi tonggak skuad lebuh raya Malaysia pada Le Tour de Langkawi 2009 (LTdL 2009) dan LTdL 2010.

Dalam pada itu, Presiden PKBM, Abu Samah Abd Wahab berharap semua pelumba yang berlatih bersama Seers menerima keputusan jurulatih tersebut dengan hati terbuka.

“Mereka kena faham bahawa seseorang jurulatih itu mempunyai penilaian dan pandangan tersendiri. andai tak terpilih, jangan patah hati atau merajuk sehingga meninggalkan kem pasukan kebangsaan Malaysia.

“Ingatlah sekali gagal tak bermakna mereka gagal selama-lamanya. Sebaliknya pelumba yang tak terpilih harus berlatih dengan lebih gigih bagi meyakinkan jurulatih baru,” katanya dalam satu kenyataan.

Abu Samah yang juga Naib Presiden Persatuan Berbasikal Asia (ACC) percaya Seers sudah melakukan penilaian dan pemantauan terbaik sejak mula melatih pasukan kebangsaan pada 2 Januari lalu.

Malaysia dan Korea Selatan adalah dua pasukan kebangsaan yang menerima jemputan khas daripada penganjur LTdL 2011 manakala Afrika Selatan sudah pun secara rasmi menolak pelawaan tersebut sebaliknya sekadar menghantar pasukan pro benua.

Kejohanan LTdL 2011 yang berstatus 2HC dalam kalendar Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) dan menawarkan hadiah kemenangan RM1 juta dianjur Kementerian Belia dan Sukan (KBS) PKBM.

Perlumbaan membabitkan sepuluh peringkat dengan jarak keseluruhan 1,315.4 kilometer bakal bermula di Langkawi dan berakhir di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.

No comments:

Post a Comment

Total Pageviews